Pages

Friday, April 8, 2011

Umum al-Balwa



Dalam Islam, Umum al-Balwa merupakan sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku. Ia menjadi salah satu faktor penentu sesuatu hukum. Sebagai mudah, seseorang yang bergelumang dengan dunia ikan seperti nelayan, tukang angkut ikan, penjual dan lain-lain yang berkaitan dengan ikan, dia tidak boleh elak daripada berhadapan dengan sisik ikan. Jadi, sah wuduknya selepas dia berusaha membersihkan dirinya namun masih lagi terdapat satu atau dua sisik ikan yang terlekap pada anggota wuduk yang tidak disedarinya. Setelah solat baru sedar, maka solatnya sah kerana wuduknya sah. Hukum asal ialah tidak sah wuduk kerana air tidak sampai ke anggota wuduk. Namun hukum tersebut berubah kepada penggelumang dengan ikan kerana kaedah umum al-balwa. Maksudnya sesuatu yang tak dapat dielakkan oleh mereka kerana itulah kerja mereka setiap hari. Walau bagaimanapun bagi kerani perikanan yang duduk hanya di dalam pejabat tidak tertakluk kepada hukum tersebut kerana beliau tidak bergelumang dengan ikan. Maka jika sesekali dia memegang ikan dan terlekat sisik pada tangannya, maka tidak sah wuduknya walau dia baru sedar kewujudannya satu dua sisik selepas solat.

Contoh lain ialah tukang cat yang tidak dapat tidak memang berurusann dengan cat yang kadang-kadang menyebabkan setitik dua tertinggal walaupun setelah berusaha dibersihkan sehabis mampu. Sungguhpun begitu seseorang yang terlibat itu mestilah berusaha membersihkannya dahulu dengan kadar yang paling sungguh. Selepas itu barulah ia menjadi al-ma’fu anhu atau dimaafkan kerana umum al-balwa. Dalam contoh yang lain, burung marpati yang hidup bebas dalam masjid lalu membuang najisnya di atas lantai tempat solat. Dalam keadaan yang banyak hingga tidak boleh dikawal lagi, maka bolehlah jemaah bersolat di dalam masjid itu dengan syarat sebelum solat di buang segala najis itu. Jika selepas itu masih ada maka itulah yang dimaafkan. Begitu juga dengan tahi cicak atau tahi tikus yang terlalu banyak dalam masjid. Tetapi lazimnya pada waktu ini belum ada masjid yang dipenuhi cicak apatah lagi tikus. Cicak masih boleh dikawal pembiakannya, dan najis masih boleh dibuang. Tetapi kalau setiap tempat ada saja najis cicak, perlulah dibersihkan setakat yang mampu. Selebihnya adalah dimaafkan.
Jelas di sini, umum al-balwa sesuatu yang menjadi umum dan sukar dielakkan. Namun ia perlu dielakkan juga setakat yang termampu. Jika dibiarkan atas alasan umum al-balwa adalah satu kesalahan.

No comments: