Pages

Thursday, May 7, 2009

Yusuf Islam bantu pengislaman Idris

Susunan SITI AINIZA KAMSARI


Idris tawfik semasa melawat penduduk Gaza yang menjadi mangsa keganasan Israel di Hospital al Nasr, Kaherah, Mesir atas dasar keprihatinan tinggi beliau terhadap saudara sesama Islam.

TAHUKAH anda, kedua-dua ayat surah al-Maidah itu membuka pintu hati seorang paderi Gereja Katholik Roman di Britain memeluk Islam!

Bekas paderi itu, Idris Tawfik pada mulanya sekadar membaca makna ayat kalam suci al-Quran itu di hadapan anak-anak muridnya ketika bertugas sebagai Ketua Pengajian Agama-agama di beberapa buah sekolah di England dan Wales.

"Tetapi pada suatu hari, saya seolah-olah disedarkan oleh ayat-ayat di atas ditujukan kepada saya. Bahawa tidak ada bezanya kerana saya merupakan pendita dan ahli ibadat (Nasrani) seperti yang disebut dalam ayat itu.

"Sejak itu saya sering tertanya-tanya, adakah saya orangnya yang Allah maksudkan untuk akhirnya mengakui mengenai kebenaran al-Quran dan menerima kerasulan Nabi Muhammad?," ujarnya.

Seusai memeluk Islam, Idris akui tidak menyesal mengenang masa silamnya yang pernah menjadi orang kepercayaan kuat gereja. Termasuk menghabiskan lima tahun masa pengajian beliau di Vatican City semata-mata untuk menjadi seorang paderi yang berwibawa.

"Untuk tempoh beberapa tahun, saya gembira menjadi paderi terutama menolong mereka yang memerlukan bantuan. Namun jauh di sudut hati, saya tidak dapat menipu diri sendiri apabila akhirnya saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena yang begitu menganggu hati dan perasaan saya," katanya.

Semuanya bermula apabila Idris memutuskan untuk tidak lagi bertugas di Vatican atas alasan, hatinya begitu tertarik melawat Mesir.

"Sebelum ini saya sering menganggap Mesir hanyalah sebagai negara yang sinonim dengan monumen ajaib iaitu piramid-piramid, unta-unta, padang pasir dan pohon-pohon palma.

"Tetapi sebaik tiba di Kaherah, pertama kali saya mengenali Islam di sini dengan lebih jelas. Saya dapati penduduk Islam Mesir mempunyai hati yang lembut, baik hati serta mempunyai hati dan semangat yang kuat," kata Idris.

Sebelum ini seperti rakyat Britain yang lain, Idris juga mengenali Islam sebagaimana yang mereka ikuti daripada laporan media. Terutama televisyen yang hanya menyiarkan mengenai serangan bom dan lain-lain tindakan ganas yang kononnya mempunyai kaitan dengan pejuang dan ajaran Islam.

Tertarik dengan Mesir

"Tetapi apabila saya berada di Mesir, saya mendapati agama ini sungguh cantik. Saya amat tertarik melihat para peniaga yang memenuhi jalan-jalan meninggalkan barang jualan mereka begitu sahaja untuk berhenti, mengadap Allah dan menunaikan solat sejurus mereka mendengar azan dilaungkan dari puncak-puncak menara masjid.

"Cara mereka segera menunaikan solat itu seolah-olah bukan sahaja kerana percaya mengenai kewujudan Allah, malah mereka tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan Tuhan," katanya.

Sekembali dari Mesir, Idris menyambung tugasnya sebagai guru Pengajian Agama-Agama, iaitu perbandingan ajaran mengenai Kristian, Islam, Yahudi, Buddha dan pelbagai agama lagi.

"Setiap hari saya mesti membaca mengenai agama-agama ini bagi membolehkan saya mengajar dengan baik terutama kepada anak-anak murid yang kebanyakannya terdiri dari anak pelarian dari negara-negara Islam.

"Berbanding anak murid dan remaja-remaja lain, saya dapati anak-anak pelarian ini berbeza kerana mempunyai sahsiah diri yang baik, sopan dan berbudi bahasa. Hasilnya, mampu menjadi seperti sahabat yang baik dan saya tidak bermasalah apabila mereka meminta kebenaran menggunakan kelas saya bagi mendirikan sembahyang terutamanya pada bulan Ramadan," kata Idris.

Ketika mereka mendirikan ibadat itulah, Idris tertarik melihat setiap kali mereka solat. Kadang kala beliau ikut berpuasa Ramadan walaupun ketika itu Idris masih lagi Kristian.

"Dan pada peringkat saya membaca petikan daripada ayat 83 surah al-Maidah yang bermaksud, Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (al-Quran).

"Tidak semena-mena hati saya begitu sayu oleh makna ayat itu. Saya tidak mampu menahan air mata yang gugur walaupun berusaha untuk melindungnya daripada dilihat oleh anak murid," katanya.

Detik perubahan yang besar dalam hidup bekas paderi ini berlaku selepas serangan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001.

"Ketika itu seluruh warga Barat terus menuding jari kepada Islam yang menjadi punca serangan dan menyebabkan kematian ribuan penduduk awam tetapi saya berpendapat sebaliknya.

"Mengapa Islam hendak dipersalahkan sedangkan terdapat juga keganasan yang dianjurkan oleh orang Kristian dan mengapa mereka tidak dipersalahkan.

"Sebabnya, Islam yang saya kenali dan saya lalui bersama dengan penganut agama itu sebelum ini menunjukkan agama itu sangat menentang keganasan dan pembunuhan sesama manusia," katanya.

Ini menyebabkan Idris makin serius memikirkan mengenai Islam yang membawa beliau akhirnya menjejakkan kaki ke masjid terbesar di kota London, London Central Mosque bagi mencari jawapan yang pasti.

Ketika beliau sampai di masjid itu, kelihatan bekas penyanyi popular era 70-an, Cat Steven atau Yusuf Islam berada dalam satu kelompok yang terdiri daripada beberapa orang lelaki dan mereka seperti sedang membincangkan mengenai Islam.

Tanpa membuang masa, beliau terus bertanya Yusuf: "Apa yang perlu saya lakukan untuk menjadi seorang Islam?"

Yusuf menjawab seseorang itu hendaklah mempercayai kepada Tuhan Yang Satu, mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadan...

Belum sempat Yusuf memberi penjelasan, Idris terus memotong kata-kata Yusuf dengan berkata: "Saya percaya kesemua itu, malah saya pernah berpuasa di bulan Ramadan."

"Jadi apa yang awak tunggu lagi, apa yang menahan awak memeluk Islam setelah anda telah mengenali dan mengakui kebenaran Islam?" tanya Yusuf.

"Saya masih belum mempunyai niat yang kuat untuk memeluk Islam," jawab Idris.

Namun perbualan mereka terhenti di situ apabila azan berkumandang menandakan waktu solat.

Sejurus mereka selesai solat dengan menoleh ke kiri dan kanan memberi salam, Idris terus menerpa Yusuf dan meminta beliau membimbingnya melafazkan syahadah.

Alhamdulillah dengan bantuan Yusuf, bekas paderi ini tunduk dan sujud kepada Islam dengan para jemaah dan Masjid Central London menjadi saksi pengislaman Idris.

Sambil bergenang air mata, Idris mengucapkan syukur atas limpah hidayah yang telah dikurniakan oleh Allah. Kini beliau meyakini sepenuhnya Allah tidak pernah mendustai dan ternyata di sebalik ayat dari surah al-Maidah tidak sahaja benar kerana ternyata ayat itu begitu memberikan kesan langsung kepada dirinya.

Dari aspek pendidikan, Idris adalah pemegang Ijazah Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris dari Universiti Manchester, Ijazah dalam Sacred Theology dari Universiti Pontifical of Saint Thomas Aquinas di Rom yang melayakkan beliau bertugas sebagai guru Bahasa dan Paderi sebelum memeluk Islam.

Lebih banyak lagi mengenai Idris dapat anda kenali dan ketahui dengan melayari http:www.idristawfiq.com.

utusan.com.my

No comments: